Ahad, 13 Mei 2012

kisah seorang hamba allah

Ketika pertama kali aku mula menjejakkan kaki ku ke masjid pada bulan ramadhan saat itu aku berumur 15 tahun. Seperti remaja yang lainnya, aku merupakan remaja yang tidak terlepas dengan budaya sosialnya.

Ketika suatu malam, saat aku melihat ayahanda tidur sepulangnya dari tempat kerja, ayahanda kelihatan tersangat letih. Ketika itu juga, aku merasakan penat lelahnya mencari sesuap nasi untuk menyara kami. Aku mula merasakan betapa berharganya pengorbanannya kepada kami.

Ku rebahkan tubuhku ke lantai dan pada malam itu aku berfikir 'apakah bakti yang telah ku buat kepada mereka berdua?
'
Sedang aku, sibuk melayani sikap ku yang sosial itu. Ku bersyukur kepada Allah dibukakanNya hatiku dan diberikanNya daku petunjuk untuk berubah, lalu aku berazam di bulan ramadhan aku akan menjejakkan kaki ku ke masjid agar aku dapat menjadi lelaki juga anak yang baik.

Alhamdulillah, dengan rahmat dan rahimNya Allah, Allah permudahkan niatku untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.

Namun, saat itu aku tidak mengenal apa itu 'Sunnah' dan apa itu 'Bid'ah' juga apa itu 'Tauhid' serta pembatal tauhid yakni 'Syirik'.

Aku mula mencari ilmu, ku temukan seorang ustaz yang merupakan seorang guru yang mengajar ilmu al-Quran. Aku belajar memperbaiki bacaan kerana pada saat itu aku juga mempunyai basic pengetahuan tentang al-Quran. Di ajarkannya aku ilmu tajwid. Alhamdulillah, Allah memberikan kefahaman kepada ku untuk mudah belajar.

Kemudian, pada sebelah malamnya aku di ajarkan pula tentang ilmu sifat 20. Pada saat itu aku tidak mengetahui apa-apa pengetahuan agama. Disuntiknya daku dengan kefahaman apa yang beliau pernah belajar. Di ajarkannya daku berzikir dengan menggoyangkan kepala ke kiri dan ke kanan (tamayyul). Lalu, aku mengikutinya.

Juga, di ajarkannya daku tentang Aqidah 'Allah wujud tanpa bertempat'. Juga, aku meng 'iyya' kan. Kerana, bagi seorang remaja yang jahil dalam agama, tidak lah terdaya ku membantahnya kerana pada saat itu aku bertaqlid kepadanya.

Kemudian, dia mengajarkan ku ilmu tasawuf, membersihkan hati akan tetapi terkadang aku melihatnya seperti orang yang 'pandai berkata, tetapi tidak serupa bikin'. Namun, aku membenarkannya.

Beliau juga menyuntik ku dengan satu nasihat 'Hati-hatilah dengan wahabi, kerana wahabi adalah mujassimah dan selalu membincangkan perkara-perkara furu'. Ia boleh menyebabkan perpecahan.'

Sebagai remaja yang jahil agama, maka aku mulai membaca dan tempat yang aku paling gemari adalah perpustakaan. Aku terbaca berkaitan 'Maulid' ataupun sambutan maulidur rasul. Pandangan tersebut lebih kepada tidak membenarkan.

Lalu, aku mula bertanya kepada si ustaz 'Apa hukum menyambut kelahiran Nabi?'

Beliau pun menjawab 'sangat dianjurkan, kerana saat itu kita berselawat dan mengenang jasa baginda'.

Aku pun mengangguk membenarkan.

Saat aku dan juga sahabat yang lain mewarna dan mentabur 'manik-manik' untuk sepanduk bertujuan sambutan maulidur rasul, seorang sahabat pernah membaca sepotong dan disebutkan nombor dan bab hadith tersebut lalu ustaz tersebut pun menegahnya sambil berkata 'Buang masa sahaja menyebut nombornya'.

Aku pun mendengarnya merasa pelik dan tertanya-tanya di dalam benak fikiranku 'kenapa..hmm?'

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, aku masih menuntut ilmu kepadanya kerana telah termakan dengan sebuah hadith yang dia sampaikan kepadaku 'tuntutlah ilmu sehingga ke negeri cina'. Pada saat itu aku tidak mengetahui 'sanad' hadith termasuk lah status hadith di atas.

Aku begitu bersemangat menuntut ilmu kepadanya. Di ajaknya aku ke kenduri bila ada jemputan. Di ajarkannya aku selawat-selawat yang sumbernya pun aku tidak tahu namun aku menerimanya kerana jahil dalam agama.

Pada suatu hari, seorang abang datang ke masjid yang mana aku tidak mengenalinya. Beliau saat itu menuntut di Universiti. Ku lihat pada pribadi luarannya memiliki ciri-ciri seorang ustaz ditambah dengan hiasan janggut di dagunya membuatkan aku yakin beliau merupakan seorang ustaz.

Aku mula berkenalan dengan beliau, rapat dan duduk bersembang dengan beliau.

Ketika aku bersembang dengan beliau perihal agama, aku merasakan ada yang tidak cocok dengan apa yang pernah aku belajar. Apabila dia kata 'no' bagi aku 'yes'.

Aku mula bingung, kenapa boleh jadi begini? Kenapa bisa wujud perbezaan di antara keduanya?

Namun aku tetap dengan pendirianku. Kemungkinan beliau melihat kesungguhanku di dalam menuntut ilmu, beliau menghadiahkan daku 2 buah buku yang juga merupakan buku pertama yang menjadi hak milik ku iaitu buku '13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid' dan 'Wahai Ibu! Wahai Ayah!' yang keduanya merupakan karangan Kapten Hafiz Firdaus Abdullah.

Aku mula menelaah buku '13 Perkara Yang Mencemari Kemurniaan Tauhid'. Aku dapati, apa yang ustaz itu ajar ada yang bercanggah dengan apa yang terkandung dalam buku tersebut. Aku mula merasa bimbang dan keliru, mana satu yang benar?

Aku tidak mengendahkan, aku tetap pegang apa yang ustaz tersebut ajarkan.

Aku mula bertanya dan bertanya kepada abang tersebut, dan meminjam buku-buku beliau tidak ketinggalan juga buku sifat solat nabi. Aku dapati, sungguh sangat jauh berbeza dengan apa yang ustaz tersebut ajar antaranya 'melafazkan niat'. Dalam buku tersebut mengatakan ianya bukan sunnah (bid'ah) disertai hujjah-hujjah daripada al-Quran dan Sunnah.

Aku pun pelik, kenapa bercanggah?

Pada saat itu, aku tanamkan sikap mengkaji tanpa perlu menyokong mana-mana pihak.

Aku mula mengenal apa itu 'Ahlus Sunnah wal Jamaah' serta prinsip-prinsipnya di dalam beragama. Apa landasan utama mereka.

Aku mula mengenal apa itu 'bid'ah', 'Tauhid 3' juga 'Syirik'.

Aku mula membeli buku-buku yang mempunyai 'Nota kaki' kerana teringat pesan abang tersebut 'sanad yang penting'.

Lapang dada ku pada saat aku mengenal abg tersebut, aku rasakan inilah kebenaran.

Setelah beliau kembali ke kampus, ditinggalnya aku dengan kefahaman manhaj yang belum mantap lagi, sekali lagi aku termakan syubhat ustaz tersebut. Ku tinggalkan apa yang abg tersebut ajar dan kembali kepada yang dulu.

Aku merasakan, aku tidak mampu membantah hujjah ustaz tersebut kerana apabila ia berkata sungguh manis sehinggakan jiwaku termakan pancingnya.

Seorang sahabat mengadu akan perubahan ku kepada abang tersebut, menjelang cuti sem abang tersebut pulang ke kampung. Aku pun gembira dan segera berjumpa dengannya.

Mengetahui akan keadaanku, abang tersebut menggunakan 'taktik' dengan membawa ku minum petang di restoran Auliah, kemudian beliau pun memberi pencerahan kepadaku, tidak cukup itu di ajaknya aku tidur di rumahnya.

Aku mula menerimanya, aku mula memahami manhaj yang cuba disampaikan kepadaku.

Aku mula mengubah tatacara solatku, yang dulunya aku melafazkan niat kepada tidak melafazkan, aku mula mengamalkan bacaan-bacaan di dalam solat sesuai dengan sunnah. Zikir-zikir yang tiada asal-usulnya ku campakkan ke lautan agar tidak ku amalkan lagi.

Aku tidak lagi berzikir menggoyangkan kepala. Tidak lagi menggunakan perkataan 'Sayyidina' di dalam selawat.

Juga, aku mula menjauhkan diri daripada belajar dengan ustaz tersebut. Mengetahui aku tidak lagi hadir dalam kelas pengajiannya, tidak lagi merujuk kepadanya, aku dijadikannya musuh. Dia selalu menyindir ku. Aku tabah.

Ku teruskan niatku menuntut ilmu dengan pembacaan, mendengar dan melihat video ceramah dan bertanya kepada abang tersebut.

'7 Tipu Daya Syaitan' buku ketiga abang tersebut hadiahkan dihiasi gambar beliau bersama kapten Hafiz. Gembira tidak terkata, mendapat buku agama disamping dapat mengenali wajah kapten Hafiz walaupun tidak pernah bersua.

Asbab buku tersebut, baru aku mengetahui bahawasanya doa makan yang selama ini sebenarnya bukanlah sunnah sebaliknya ia adalah bid'ah kerana ia di ambil dari hadith yang tidak shahih. Akan tetapi, yang shahih adalah bismillah saja. Subhanallah.

Sedikit demi sedikit, aku mula mengkaji apa itu salaf, siapa kah mereka dan siapakah al-Ghuroba' juga golongan yang tercicir.

Aku juga mula mengenal penipu-penipu agama seperti Zamihan dan Abu Syafiq. Aku mula sibukkan diriku dengan mengkaji tentang persoalan bid'ah hasanah, Dimana Allah, wahabi, zikir bid'ah rekaan manusia, jahmiyyah, muktazilah, khawarij, qadariyah juga syiah rafidhah laknatullah!

Alhamdulillah, setelah bekerja aku mula membeli buku-buku ilmiah. Subhanallah.

Bersyukur kepada Allah kerana memberikan daku hidayah.

Terima kasih buat akhuna Mohd Hairi Nonchi
kerana sudi membimbing daku ke arah manhaj yang benar. Juga kepada sahabat yang lain.

Semoga Allah menetapkan hati kita di atas jalan yang benar. Ameen.

-inilah kisah ku mengenal manhaj salaf-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan